Sejarah Sekolah

Sebelum  kewujudan  SK. Ladang Binuang,  ibu bapa  yang  bekerja  di Ladang Binuang, Ladang Tingkayu,  Ladang Jeleta Bumi,  Ladang Mycom,  dan  ladang-ladang  yang berhampiran terpaksa menghantar anak-anak mereka belajar di SK. Mostyn. Perjalanan yang jauh ( menjangkau sehingga 40 km ) bukan sahaja meresahkan para ibu bapa malah membebankan  pihak  ladang  kerana  terpaksa menanggung  kos yang tinggi untuk menyediakan kemudahan pengangkutan.  Bertitik tolak daripada masalah ini maka lahirlah cadangan dan tawaran oleh  beberapa buah  ladang untuk  mendirikan sekolah. Di antara ladang-ladang yang menawarkan tapak untuk  pembinaan sekolah ialah Ladang Binuang, Ladang Tingkayu dan Ladang Jeleta Bumi.

Walau bagaimanapun,  pihak Jabatan Pelajaran Sabah  memutuskan untuk mendirikan sekolah  di kawasan  Ladang Binuang  kerana  kesanggupan  pihak Ladang  ( Golden Hope Plantations Berhad )  menanggung 100% kos  membina bangunan sekolah.  Setelah melalui  beberapa  siri  perbincangan di antara  Pengurus Ladang Binuang  yang  dimulai oleh En. Zaki bin Abd. Kadir  dengan  Pegawai   Pelajaran  Daerah  Kunak  ( En. Mansor  bin Palullah )  pada  22 April 1994,  akhirnya  atas komitmen dan keprihatinan  Pengurus Ladang  Binuang ketika itu  ( Tuan Haji Mohd. Ramlan bin Haji Ramle )  pada pertengahan tahun 2002  bangunan SK. Ladang Binuang siap dibina.

Berdasarkan rekod di Jabatan Pelajaran Sabah, Nama ‘SK. Ladang Binuang’ mula wujud pada  penghujung tahun  1999.  ‘ Binuang ’  yang dipetik  sempena  nama ladang tempat sekolah ini  didirikan  dipercayai  berasal  daripada  nama sejenis tumbuhan yang banyak terdapat dikawasan ini sebelum diterokai. Mula beroperasi pada 09 Februari 2000 dengan jumlah murid 260 orang ( 8 kelas ), 8 orang guru ( termasuk guru besar ) dan  2 orang kakitangan  bukan mengajar.  Sementara menunggu bangunannya  siap  dibina,  SK. Ladang Binuang  terpaksa  menumpang  di bangunan  SK. Mostyn  dan  beroperasi  pada  sebelah  petang. 


 Berikut  adalah  tenaga  pengajar  dan  KTBM  selaku  perintis  di  SK.  Ladang Binuang.

     1.   Hasan bin Kadir  ( Guru Besar )                  
     2.   Abd. Ghafar bin Mahmud ( Pen. Kanan 1)    
     3.   Banat bin Wanie ( Pen. Kanan HEM )        
     4.   Hashim bin Mutra ( Pen. Kanan Kokum )      
     5.   Abbas bin Adul  
     6.   Mutahhara bt. Harapia  
     7.   Sainaba bt. Muhtar
     8.   Anna Fitryana bt. Djubair
     9.   Padupai bin Jusrah (KTBM )
   10.   Dabnah bt. Sarol  ( KTBM )